PENDAHULUAN

Maktab Perguruan Rajang terletak di sebuah tapak tanah seluas kira-kira 32.3 hektar, 16 KM dari bandar Bintangor dalam Bahagian Sarikei, Sarawak.

SEJARAH RINGKAS

(i) Latar Belakang

Maktab Perguruan Rajang ini dibina sebagai projek usahasama di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan New Zealand. Kerajaan Malaysia adalah bertanggungjawab untuk memperolehi tapak tanah dan pembangunannya sementara Kerajaan New Zealand menganugerahkan bantuan kewangan sebanyak RM1.5 juta di bawah Rancangan Kolombo.

Maktab Perguruan Rajang ini telah dirasmikan pembukaannya pada 31 Oktober 1967 oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abang Haji Openg.

(ii) Pembangunan

Pembangunan Maktab ini dilaksanakan dalam dua fasa dan kemudiannya menyusul pula beberapa pembangunan tambahan mengikut keperluan semasa. Kerja-kerja pembangunan Fasa I bermula pada bulan Julai 1965. Bangunan-bangunan yang dibina ialah :-

* Sebuah bangunan perpustakaan

* Lima buah `Detached Quarters’

* Sebuah Dewan Makan

* Empat buah asrama kayu (separuh kekal)

* Dua gelanggang tenis

* Satu gelanggang bola keranjang

* Satu padang hoki

* Satu padang bola sepak

Pada penghujung tahun 1967, perlaksanaan Fasa II berakhir. bangunan-bangunan yang telah dibina ialah :-

* Sebuah blok Kuliah dan Pentadbiran (8 bilik kuliah - separuh kekal)

* Tiga blok Flat (18 unit)

* Sebuah Kolam Renang

* Sebuah blok Seni/Kraftangan (Kayu dan separuh kekal)

* Sebuah blok Sains (separuh kekal) - tiada lagi

* Sebuah Dewan Besar (separuh kekal)

* Sebuah Pusat Perubatan

Di antara tahun 1968 dan 1975 beberapa buah projek telah dilaksanakan. Projek-projek tersebut ialah :-

* Dua buah bangunan Asrama (kekal)

* Sebuah bangunan Pentadbiran (kekal)

Dalam Rancangan Malaysia Kedua, sebanyak RM2,096,400 telah diperuntukan kepada Maktab bagi mendirikan :-

* Sebuah blok Flat (6 unit)

* Dua buah Asrama (kekal) - untuk 200 orang

* Sebuah bangunan tiga tingkat (kekal) - 2 buah bilik kuliah, 1 bilik Mikro, 1 Makmal Bahasa, 1 bilik Sains, 1 bilik

ERT dan 1 bilik Perpustakaan.

* Sebuah bilik Bengkel Pertukangan Kayu

* Sebuah bilik Muzik

Tetapi dalam Rancangan Malaysia Ketiga tidak ada projek pembangunan dilaksanakan. Cuma dalam Rancangan Malaysia Keempat sahaja terdapat beberapa projek telah disempurnakan. Di antara bangunan-bangunan yang ketara muncul ialah sebuah Dewan makan yang menelan belanja RM528,000 (sekarang menggunakan sistem Kafeteria) dan siap pada tahun 1985.

Dalam Rancangan Malaysia Kelima, projek-projek berikut telah diluluskan :-

* 2 buah blok akademik (6 bilik kuliah) - telah siap

* Sebuah blok 4 tingkat Akademik dan Pentadbiran telah siap dibina - kos pembinaan RM815,000.00

* Asrama dan Surau - telah siap dibina - kos pembinaan RM825,000.00

* Projek-projek kecil seperti :-

a) Memperbaiki jalan raya (siap dilaksanakan) Kos pembaikan RM80,000.00

b) Memperbaiki asrama (siap dilaksanakan) Kos pembaikan TM80,000.00

c) Gelanggang-gelanggang Tenis, Bola Jaring, Bola Tampar dan Sepak Takraw.

Dalam Rancangan Malaysia Keenam (1991 - 1995), projek-projek kecil seperti berikut telah pun siap dibina :-

* Gelanggang Bola Baling -cum- Bola Keranjang

* Dewan Terbuka KLMS - RM21,000.00

* Tandas (6 unit) KLMS - RM24,000.00

* Tadika dan Taman kanak-kanak - RM40,000.00

* Pembaikan Besar dan Pengubahsuaian Blok Akademik Lama Kos pembaikan RM79,000.00

* Pengubahsuaian Bilik Kuliah untuk dijadikan Makmal Komputer - Kos pengubahsuaian RM24,000.00

(iii) Perkembangan Fizikal

Kini, dari segi pembangunan, Maktab Perguruan Rajang boleh berbangga dengan sebuah Dewan makan (Kafeteria) yang besar, sebuah Dewan Besar, sebuah Panggung Syarahan, 1 blok Akademik dan Pentadbiran yang baru, 3 blok Kuliah, 9 blok Asrama, 4 blok Flat, 5 buah kuarters, sebuah kelas Pra Sekolah, 2 blok Berek, sebuah blok Pentadbiran lama, sebuah Pusat Perubatan, sebuah Surau dan 1 blok 3 tingkat yang memuatkan Perpustakaan, 1 bilik Alat Pandang Dengar, 1 bilik Pengajian Mikro, 2 buah Makmal Sains, sebuah Makmal Bahasa dan sebuah Bilik Ekonomi Rumahtangga.

Kemudahan-kemudahan Sukan dan Rekreasi juga didapati di Maktab ini, seperti gelanggang Tenis, Bola Keranjang, Bola Tampar, Sepak Takraw, padang Bola Sepak, Hoki dan Sofbol. Maktab ini juga mempunyai sebuah Kolam Renangnya sendiri serta 3 kolam ikan.

Untuk kemudahan pengangkutan pula, Maktab ini diperuntukkan dengan sebuah van dan 3 buah bas serta dua buah speed boat.

Lawatan-lawatan rasmi juga sering dibuat ke Maktab ini oleh orang Kenamaan seperti Pengarah Pendidikan dan pegawai-pegawai lain dari Bahagian Pendidikan Guru, Kuala Lumpur, Pengetua Maktab yang lain dan ramai lagi orang-orang kenamaan yang lain.

Lawatan Sambil Belajar juga sering diadakan di Maktab ini oleh sekolah-sekolah rendah/menengah di sekeliling Bahagian Sarikei dan adakalanya juga dari Universiti Tempatan.

                                                                   BACK